
KUALA LUMPUR: Kerajaan dituntut menyatakan rancangan mahu dilaksanakan berkait dana kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) yang tidak diguna bagi kesejahteraan masyarakat itu.
M Kula Segaran (PH-Ipoh Barat) berkata, peruntukan diberikan kepada Mitra tahun lalu berjumlah RM100 juta, namun hanya RM65 sahaja digunakan.
“Tahun lalu, jumlah yang diagihkan sebanyak RM100 juta hanya RM65 juta sahaja dipakai, bermakna RM40 juta atau 40% telah gagal, walhal (masyarakat) India memerlukan pertolongan tersebut.
“Adakah kerajaan sudi untuk menyalurkan wang yang tidak digunapakai tahun dahulu, digunakan pada tahun ini,” katanya di Dewan Rakyat ketika perbahasan di peringkat jawatankuasa Belanjawan 2023.
Beliau juga menggesa kerajaan menjelaskan sebab dana diperuntukkan itu bagi tahun sebelumnya tidak digunakan, di mana sehingga kini mencecah RM250 juta.
September lalu, perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob bersetuju dengan cadangan pemimpin MIC supaya Mitra diletakkan di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri (JPM), berbanding dikawalselia Kementerian Perpaduan Negara.