
KUALA LUMPUR: Hairi Mad Shah sah memenangi jawatan naib ketua Pemuda Umno, selepas menang tipis ke atas pencabar utamanya, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno, Shahrir Samad, berkata exco belia, sukan, pembangunan usahawan, koperasi dan sumber manusia Johor itu memperoleh 87 undi, melebihi tiga undi diraih Ikmal.
“Kemenangan bagi Hairi bagi jawatan naib ketua Pemuda hanya ditentukan pada 12 tengah hari tadi apabila keputusan dari bahagian akhirnya semua dapat diperoleh,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn.
Semalam, Shahrir berkata, keputusan bagi pemilihan jawatan itu belum boleh dimuktamadkan memandangkan terdapat lapan bahagian belum menghantar keputusan undian mereka.
Di peringkat Wanita, katanya, Noraini Ahmad mempertahankan kedudukannya yang dicabar Shahrizat Jalil, manakala Norliza Abdul Rahim turut mempertahankan jawatannya sebagai naib ketua Wanita.
Bagi jawatan ketua Pemuda pula, Dr Akmal Salleh menang selesa berbanding pencabar terdekatnya, Shahar Abdullah.
Beliau berkata, Nurul Amal Fauzi memenangi jawatan ketua Puteri, manakala naib ketua sayap itu adalah Siti Sokhleha Nordin.