
ALOR SETAR: Adun Suka Menanti Zamri Yusuf dipilih sebagai ketua pembangkang DUN Kedah baharu berkuat kuasa 1 Feb.
Pelantikan Zamri itu menggantikan Johari Abdul yang mengosongkan kerusi DUN Gurun pada Disember lalu. Johari kini speaker Dewan Rakyat.
Pelantikan wakil rakyat daripada PKR itu diumum Speaker DUN Kedah Juhari Bulat sebelum sesi pertanyaan lisan pada persidangan DUN Kedah di Wisma Darul Aman.
Ketika mengumumkan perkara itu, Juhari turut memaklumkan kerusi DUN Gurun kekal kosong sehingga habis penggal ini.
Pada 18 Dis lalu, Johari mengumumkan beliau mengosongkan kerusi DUN Gurun berkuat kuasa serta-merta dan mengutuskan sepucuk surat kepada speaker DUN Kedah.
Dalam pada itu, Juhari mengumumkan Adun Alor Mengkudu Phahrolrazi Mohd Zawawi yang dipecat oleh Amanah sebelum ini menjadi wakil rakyat PKR.