
SHAH ALAM: Polis menahan lima warga Indonesia termasuk seorang wanita pada 6 Mac lalu kerana disyaki terlibat enam kes samun bersenjata di sekitar Selangor dan satu di Negeri Sembilan, melibatkan kerugian hampir RM55,000.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata semua suspek ditahan selepas polis menerima aduan daripada seorang ahli perniagaan yang menyatakan rumahnya di Sungai Long, Kajang dipecah masuk tiga lelaki dipercayai warga Indonesia, pada kira-kira 3 pagi.
Katanya, bertindak hasil maklumat, polis menyerbu sebuah rumah flat sekitar Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 8.20 pagi, dan menahan semua suspek berumur 29 hingga 49 tahun, selain merampas pakaian, beberapa barang hasil samun, serta peralatan digunakan suspek semasa menyamun.
Bercakap pada sidang media, beliau berkata, siasatan mendapati semua suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan disyaki memasuki negara ini secara haram, sejak November lalu.
Hussein berkata, semua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.