
PETALING JAYA: Kajian Khazanah Research Institute (KRI) mendapati saiz 700 kaki persegi rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) tidak lagi berdaya huni dan perlu dinaik taraf keluasannya kepada sekurang-kurangnya 800 kaki persegi untuk menampung saiz isi rumah berbeza.
Penyelidik Adam Manaf Firouz berkata ia selaras dengan Dasar Perumahan Kebangsaan (DPK) 2019, sambil menyifatkan unit PPR sedia ada yang dibina lebih 20 tahun lalu mempunyai kepadatan tinggi.
“Amalan semasa pendekatan ‘GFA (ruang lantai kasar atau gross floor area): satu saiz untuk semua’ tidak lagi relevan, malah menimbulkan masalah kepada penggunaan ruang tidak cekap untuk saiz isi rumah berbeza,” katanya ketika membentangkan dapatan kajian Program Perumahan Rakyat (PPR) bertajuk Kesejahteraan Kediaman Golongan Miskin Bandar.
Adam mengambil contoh unit perumahan awam di United Kingdom dan Singapura yang menawarkan keluasan lantai berbeza dan tahap kepenghunian mengikut bilangan bilik tidur.
Dapatan kajian setebal 234 muka surat itu hasil tinjauan di lima PPR iaitu PPR Beringin, PPR Kerinchi, PPR Wahyu, PPR Salak Selatan (Kuala Lumpur), dan PPR Jalan Sungai (Pulau Pinang).
PPR adalah usaha kerajaan menyediakan unit rumah mampu untuk disewa bagi mereka yang berkelayakan dan berpendapatan rendah.
Program ini diperkenalkan pada Februari 2002 bertujuan untuk disewakan kepada golongan sasaran iaitu golongan yang berpendapatan rendah dan setinggan pada kadar RM124 sebulan.
Adam turut mencadangkan kadar sewaan berjumlah RM124 seunit dinaikkan kepada suatu jumlah yang wajar bagi mengoptimumkan kos penyelenggaraan dan baik pulih bangunan dan kemudahan di penempatan berkenaan.
“Bangunan berkualiti rendah biasanya meningkatkan kos penyelenggaraan. Kos ini akan dipindahkan kepada isi rumah dengan mengenakan kadar sewa yang lebih tinggi, atau kerajaan melalui subsidi yang lebih tinggi.
“Dengan mengambil kira keadaan bangunan semasa, penemuan kajian ini juga mendapati bahawa sebahagian besar isi rumah PPR mempunyai kemampuan membayar kadar sewa yang lebih tinggi daripada kadar yang sedia ada iaitu RM124,” katanya.
Justeru, KRI mencadangkan kerajaan mengemaskini secara berkala profil demografi dan ekonomi penghuni PPR, kos sara hidup, dan kadar sewa swasta di kawasan tempatan bagi pengurusan isi rumah yang berkesan.
Kajian itu turut menggesa kerajaan melaksanakan pengauditan bangunan bagi semua unit PPR di seluruh negara bagi memastikan fungsinya cekap, mengambil kira tinjauan kepuasan penghuni, di samping mewujudkan ruang awam lebih baik.
Sementara itu, seorang lagi penyelidik, K Theebalakshmi berkata dapatan kajian menunjukkan 26% penyewa PPR menikmati taraf hidup melebihi tahap keperluan asas dan berpotensi dari segi kewangan untuk keluar daripada perumahan sosial.
Bagaimanapun, beliau berkata majoriti mereka masih tidak dapat berpindah kerana tidak mampu membeli kediaman di pasaran bebas.
“Lebih separuh dapatan kajian kami mengatakan enggan berpindah kerana rumah swasta sangat tinggi dan tidak mampu dibeli,” katanya sambil menambah kajian KRI pada 2020 mendapati harga median rumah 4.7 kali ganda berbanding pendapatan isi rumah bagi kumpulan B40.
Justeru, beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan strategi penamatan penyewaan sosial bagi membantu penghuninya mencari rumah mampu milik, termasuk menawarkan sistem baucar perumahan.