
PETALING JAYA: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengarahkan pegawai masjid dan surau memastikan penceramah memiliki tauliah daripada pihak berkuasa agama negeri.
Titah baginda, ahli jawatankuasa membenarkan penceramah tidak bertauliah menyampaikan ceramah di masjid atau surau akan dipecat, lapor Bernama.
Pada Januari lalu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan semua masjid dan surau di Johor dilarang digunakan untuk ceramah politik.
Tunku Ismail yang juga pengerusi Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) turut melarang mana-mana individu atau ahli politik daripada menggunakan masjid dan surau untuk membincangkan isu politik.
Awal bulan ini, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (Maidam) Terengganu melarang Ahli Parlimen, Adun dan senator daripada menyampaikan kuliah di masjid dan surau.
Menurutnya, Sultan Mizan Zainal Abidin kecewa kerana beberapa ahli politik menyampaikan kuliah atau kelas agama, dan mengimamkan solat Jumaat tanpa kelulusan majlis.
Pemimpin politik lain juga tidak dibenarkan berceramah di masjid dan surau di situ melainkan mendapat tauliah daripada Maidam.
Bagaimanapun, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, tidak menjadi kesalahan bagi ahli politik untuk memberi kuliah agama di masjid dan surah, dan pemimpin diwajibkan bercakap tentang politik Islam.