
PETALING JAYA: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan khas buat negeri itu untuk membaik pulih infrastruktur dan harta benda yang rosak akibat banjir.
Dalam kenyataan di laman Facebooknya, Sultan Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan pusat atas peruntukan kewangan yang telah diluluskan sebelum ini untuk mangsa banjir.
“Dua minggu lalu, Johor ditimpa banjir besar dan sehingga hari ini masih terdapat banyak kawasan belum pulih sepenuhnya terutama di Batu Pahat. Saya ingin menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap rakyat yang terpaksa berhadapan musibah ini.
“Secara keseluruhan, bencana kali ini merekodkan seramai 74,453 mangsa daripada 26,376 keluarga melibatkan sebanyak 379 pusat pemindahan sementara.
“Selepas bencana ini berakhir, saya berharap kerajaan pusat akan memberikan peruntukan khas bagi tujuan membaik pulih infrastruktur awam dan harta benda yang rosak dalam bencana kali ini,” titahnya.
Awal bulan ini, Anwar berkata, kerajaan pusat akan menyalurkan bantuan banjir RM50 juta kepada Johor untuk pengurusan sungai, membantu mangsa banjir dan keperluan mendesak lain.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor hari ini, jumlah mangsa banjir di negeri itu menurun daripada 33,254 orang pada 8 malam semalam kepada 31,680 orang pada 8 pagi ini.