
KUALA LUMPUR: Bekas pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) menarik balik saman berhubung salah laku dalam pejabat awam serta pendakwaan salah yang difailkan terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas dan 12 yang lain.
Semakan ke atas portal dalam talian mahkamah mendapati, N Sundra Rajoo memfailkan notis penarikan balik di Mahkamah Tinggi di sini pada 8 Mac.
“Penarikan balik itu adalah tanpa kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman terhadap defendan,” menurut dokumen dilihat oleh FMT.
Pada 2019, Sundra didakwa atas tiga pertuduhan menyeleweng RM1.1 juta milik AIAC untuk membeli buku.
Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan memutuskan beliau mendapat imuniti kerana kedudukannya sebagai ketua pusat timbang tara dan membatalkan pertuduhan pecah amanah jenayah dikenakan terhadapnya.
Kenyataan tuntutan Sundra yang difailkan pada 2021, mendakwa pegawai SPRM, bertindak bawah arahan Thomas dan kemudian ketua pesuruhjaya ketika itu Shukri Abdull, menahannya secara salah di KLIA pada November 2018.
Beliau berkata, penahanan itu adalah melanggar kebebasan asasinya seperti termaktub dalam Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.
Dia memberitahu kepada pegawai SPRM yang menahannya, bahawa beliau adalah ejen diplomatik berdasarkan kedudukannya dan berhak mendapat keistimewaan tertentu, termasuk imuniti daripada pendakwaan.
Bagaimanapun, katanya, pegawai itu tetap menahannya.
Sundra juga mendakwa dia disingkirkan sebagai pengarah AIAC selepas ditahan dan direman.
Dia menuntut ganti rugi lebih RM3.7 juta.
Pada 22 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Thomas dan defendan bersamanya untuk membatalkan saman itu.
Hakim Ahmad Bache berkata, terdapat isu undang-undang dan fakta yang memerlukan perbicaraan.
Rayuan oleh Thomas dan defendan lain kepada Mahkamah Rayuan akan didengar pada 13 Jun. Bagaimanapun, rayuan itu bersifat akademik dengan penarikan balik saman berkenaan.