
PUTRAJAYA: Permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing termasuk melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing (PKPPA), ditangguhkan bermula hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Mengumumkan perkara itu, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata keputusan itu dibuat, selepas Kementerian Sumber Manusia (KSM) meluluskan sebanyak 995,396 kuota penggajian pekerja asing daripada pelbagai sektor setakat Selasa lepas.
Katanya, jumlah kelulusan kuota itu mengambil kira permohonan kuota pekerja asing yang diproses secara biasa dan menerusi PKPPA, merangkumi lima sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran sahaja).
“Kelulusan kuota pekerja asing setakat ini dijangka dapat memenuhi keperluan guna tenaga asing oleh industri termasuk di sektor kritikal,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, beliau berkata, penangguhan tersebut dibuat bagi memastikan majikan yang diberikan kelulusan kuota mula membuat perancangan bagi kemasukan segera pekerja asing yang diperlukan.
“Saya menggesa semua majikan yang telah diluluskan kuota pekerja asing untuk menyegerakan proses kemasukan pekerja dalam tempoh masa ini.
“Tambahan, jumlah kemasukan pekerja asing masih rendah, berbanding jumlah kuota yang telah diluluskan oleh KSM,” katanya.
Sebelum ini, KSM dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan PKPPA bermula 17 Jan sehingga 31 Mac, untuk menyegerakan kelulusan permohonan kuota pekerja asing di lima sektor kritikal tersebut.