
PETALING JAYA: Seorang bekas Ahli Parlimen berkata, peningkatan retorik agama baru-baru ini adalah “helah untuk keuntungan politik”, bertujuan menggulingkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Retorik sebegitu juga bertujuan menggambarkan pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebagai tidak mampu melindungi Islam dan hak orang Melayu Islam, kata Charles Santiago.
“Kerajaan sekarang tidak sempurna, tetapi Anwar adalah pilihan yang lebih baik (berbanding pembangkang),” kata bekas Ahli Parlimen Klang itu dalam kenyataan.
“Jadi marilah kita bersama-sama sebagai rakyat Malaysia menolak penggunaan kepercayaan agama untuk memanipulasi, mengawal dan menguasai kita menerusi ketakutan.”
Santiago berkata, penganut Kristian sekali lagi digambarkan sebagai berdakwah kepada orang Islam dan naratif sedemikian mempunyai akibat yang berbahaya.
“Mereka yang menyemarakkan sentimen agama dan perkauman seperti itu tidak kisah tentang negara atau rakyatnya, tetapi (melakukannya semata-mata untuk mendapatkan) kuasa politik.”
Semalam, Anwar mendakwa orang “terdesak” tertentu yang merasa tercabar akan terus “menghangatkan suhu” sentimen perkauman dan agama demi kepentingan mereka.
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani kemudian turut memberi amaran bahawa tindakan akan diambil terhadap mereka yang membuat kenyataan berbaur perkauman.
Kenyataan itu dibuat susulan siasatan polis terhadap penulis blog Badrul Hisham Shaharin, lebih dikenali sebagai Chegubard, berhubung catatan Facebook mengaitkan organisasi Kementerian Belia dan Sukan dengan evangelisme Kristian.
Pada Khamis, Ahli Parlimen PAS Ahmad Yunus Hairi mencadangkan agar rumah ibadat bukan Islam tidak dibina di kawasan yang sama dengan masjid kerana akan menyentuh “sensitiviti”.
Saranan ini segera disanggah pemimpin politik di Sabah dan Sarawak, yang mengatakan ia tidak selari dengan ajaran Islam.