
PETALING JAYA: Sebanyak 10 Kampung Siaga 221 telah diwujudkan di sembilan negeri oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bertujuan melatih komuniti menghadapi bencana.
Pengarah Bahagian Perancangan Dasar dan Penyelarasan APM Mohd Yusoff Samad berkata, kampung itu ditubuhkan masing-masing satu di Sarawak, Perak, Pahang, Sabah, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang dan terbaru di Selangor.
Dua Kampung Siaga 221 di Terengganu, iaitu di Kampung Pasir Raja, Dungun, yang merupakan projek perintis peringkat kebangsaan, dilancarkan November tahun lepas, manakala kampung kedua di Kampung Belaoh, Jertih.
“Baki negeri lain akan ditubuhkan dalam masa terdekat sebelum akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kampung Siaga 221 anjuran APM Terengganu di Kampung Belaoh semalam, lapor Bernama.
Kampung Siaga 221 ditubuhkan bertujuan melatih komuniti atau penduduk yang terlibat di kawasan bencana dalam aspek kesiapsiagaan menghadapi apa sahaja jenis bencana, terutama banjir.
Mohd Yusoff berkata, latihan sebegitu membolehkan komuniti di kawasan bencana mampu bertindak pantas menyelamatkan mangsa atau mencegah sesuatu bencana menjadi lebih teruk.
Masyarakat di kawasan terlibat akan dilatih untuk memberikan respons awal berkaitan insiden bencana sementara menunggu bantuan daripada agensi keselamatan, tambahnya.
“Bilangan Kampung Siaga 221 di setiap negeri bergantung kepada penilaian risiko kekerapan berlaku bencana (banjir) di setiap daerah di negeri terbabit,” katanya.
“Contoh di Terengganu, pihak APM Terengganu akan mengenal pasti daerah lain yang berpotensi berlaku bencana, seperti Dungun atau Kemaman, untuk dipilih sebagai Kampung Siaga 221 seterusnya.