
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan draf cadangan kepada Pejabat Peguam Negara untuk mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia adalah komitmen kementerian untuk memastikan tiada anak tercicir pendidikan, sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.
“Ketika ini, berdasarkan Dasar Pendidikan Wajib di bawah Akta Pendidikan 1996, hanya setakat Tahun 6 saja. Tetapi (menerusi) komitmen KPM, kita panjangkan dan sebar luaskan (perkara ini),” katanya pada sesi soal jawab lisan.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator R Nelson yang ingin tahu bilakah KPM akan mewajibkan pelajaran di peringkat sekolah menengah untuk memastikan pelajar tidak tercicir selepas tamat sekolah rendah.
Akta Pendidikan 1996 melalui Seksyen 29A(2) mewajibkan ibu bapa menghantar anak mereka mengikuti pelajaran rendah selama enam tahun dan sekiranya gagal, ibu bapa boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Fadhlina berkata, ketika ini, KPM mengambil pendekatan menangani perkara itu dengan mengadakan program Sekolah Model Khas Komprehensif K9 dan K11.
Beliau berkata, program K9 untuk memastikan anak tidak tercicir Tahun 1 hingga Tingkatan 3, manakala K11 akan memastikan mereka terus berada di sekolah mulai Tahun 1 hingga Tingkatan 5.