
PETALING JAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menyiasat sebuah syarikat minyak sawit berpangkalan di Johor atas dakwaan membangunkan sebuah ladang baharu tanpa kelulusan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa dalam membangunkan ladang baharu tanpa EIA, AA Sawit Sdn Bhd melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Beliau berkata, kementeriannya sudah mengeluarkan arahan berhenti kerja kepada AA Sawit untuk pembangunan ladang di Endau itu.
“JAS juga akan membuka kertas siasatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling kepada syarikat sama kerana menjalankan aktiviti tanpa kelulusan laporan EIA,” katanya menjawab pertanyaan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) berhubung ladang baharu itu.
Nik Nazmi berkata, AA Sawit juga dikehendaki membaik pulih keadaan tapak projek supaya kesan hakisan dan kelodakan dapat dikawal serta bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar dan sungai berdekatan.
Julai lalu, portal alam sekitar, Macaranga dalam laporannya mendakwa AA Sawit membangunkan sebuah ladang baharu tanpa menyerahkan laporan EIA.
Katanya, imej satelit menunjukkan hutan berkeluasan lebih 600ha ditebang antara 2020 dan 2021.
Menurut laporan itu, AA Sawit hanya mengemukakan laporan EIA tahun lalu.