
PETALING JAYA: Skim Rumah Pertamaku (SRP) yang mula diperkenalkan pada 2011 bagi membantu pembeli rumah pertama memiliki kediaman tanpa perlu membayar wang pendahuluan akan dimansuhkan pada 1 April ini.
Perkara itu diumumkan Cagamas Bhd, perbadanan yang bertanggungjawab menguruskan skim berkenaan dalam kenyataan ringkas di laman sesawang syarikat itu.
Cagamas juga menasihatkan pemohon yang berminat untuk mengemukakan permohonan pinjaman atau pembiayaan perumahan bawah SRP selewat-lewatnya pada 31 Mac ini.
“Cagamas ingin memaklumkan bahawa SRP akan dimansuhkan pada 1 April 2023. Sila kunjungi mana-mana cawangan bank yang mengambil bahagian atau hubungi kami di talian 03 2262 1800 untuk maklumat lanjut,” kata kenyataan itu.
Difahamkan, pembeli rumah pertama selepas ini perlu menyediakan deposit 10% daripada harga hartanah yang ingin dibeli sama seperti pembeli yang lain.
Skim itu diperkenalkan dengan matlamat membantu pembeli yang berpendapatan kasar bulanan isi rumah di bawah RM10,000 untuk memiliki rumah pertama mereka.
SRP membolehkan pembeli rumah pertama mendapat pembiayaan sehingga 110% daripada bank yang terbabit dan membolehkan pemilikan rumah tanpa perlu membayar wang pendahuluan.
Ia sejajar hasrat untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.
Pembiayaan atau pinjaman yang diperoleh untuk pembelian rumah pertama itu akan dijamin Cagamas SRP Bhd.