
PETALING JAYA: Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy akan menggantikan hakim Zaini Mazlan bagi mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai dihadapi Rosmah Mansor.
Penukaran hakim itu dibuat berikutan Zaini yang juga bekas hakim Mahkamah Tinggi, dinaikkan pangkat menjadi hakim Mahkamah Rayuan.
Menurut peguam Rosmah, Geethan Ram Vincent, ia disahkan pada pengurusan kes di hadapan Muniandy hari ini dan turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn.
Perbicaraan ditetapkan pada 12 Mei, 28 dan 30 Jun, 6, 7, 28 dan 31 Julai, 1, 2, 11, 24 dan 25 Ogos serta 7 dan 8 September ini.
“Sepatutnya 27 Julai ini pun ada bicara namun dilapangkan kerana peguam mengetuai pasukan pembelaan Rosmah tidak dapat menghadirkan diri.
“Pihak pendakwaan ada 13 saksi dan kedua-dua pihak sudah bersedia dengan perbicaraan berkenaan,” katanya menurut Berita Harian.
Pada 4 Okt 2018, Rosmah, 72, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 12 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.
Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada ketua pengarah hasil dalam negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan Seksyen 112 akta sama.
Sebelum ini dilaporkan, Mahkamah Rayuan membatalkan rayuan Rosmah supaya Zaini yang dijadual mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukainya menarik diri.
Pada 1 Mac lalu, pasukan pembelaan rosmah membatalkan rayuan itu dengan memfailkan notis untuk tidak meneruskan prosedur.