
PETALING JAYA: Di atas kertas, perjalanan Rajesh Mansukhlal untuk pulang ke rumahnya di Seksyen 6 di sini dari pejabatnya di PJS 5 hanya mengambil 15 minit dengan memandu kereta.
Secara idealnya, lelaki berusia 64 tahun itu memilih untuk terus balik ke rumah selepas kerjanya selesai, tetapi kebiasaannya dia perlu menunggu di pejabat demi mengelak kesesakan trafik hampir sejam di Petaling Jaya.
“Laluan seperti Jalan Gasing dan Jalan Templer direka untuk mereka yang tinggal di PJ, tetapi akibat kesesakan di Lebuhraya Persekutuan, pemandu menggunakan laluan itu untuk lari daripada kesesakan,” katanya kepada FMT.
“Keadaan itu menyebabkan kami, penduduk PJ terpaksa mengambil masa lebih lama untuk sampai ke rumah,” kata pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 6 PJ itu.

Katanya, laluan dalam seperti Jalan Gasing dan Jalan Templer secara praktikalnya bertukar menjadi “lebuh raya”.
Seorang lagi penduduk PJ, Ramli Daud yang tinggal di Kampung Kayu Ara berkata, penduduk mengambil masa dua kali ganda lebih lama untuk pulang ke rumah pada waktu puncak.
“Biasanya kami hanya ambil masa sekitar 15 minit atau kurang untuk sampai ke rumah di Kampung Kayu Ara dari Tol Damansara di Lebuhraya Sprint, tetapi pada waktu puncak, ia mengambil lebih 30 minit,” katanya kepada FMT.
“Ini hanya untuk perjalanan itu saja, dan tidak termasuk perjalanan dari tempat kerja kami di Kuala Lumpur, PJ, Shah Alam dan lain-lain tempat.”
Presiden Kelab Ragbi Cobra, Darryll Sinnappa berkata, kesesakan trafik di PJ mengganggu program belia mereka kerana sesi latihan terpaksa diadakan pada Sabtu dan Ahad.
“Untuk menjadi pemain yang baik, mereka perlu berlatih hampir setiap hari dan waktu terbaik menjalani latihan adalah pada pagi dan petang, malangnya waktu itu paling teruk, dari segi trafik.
“Pemain kami dari seluruh Lembah Klang berdepan kesukaran untuk datang ke sesi latihan dan kami terpaksa mengehadkan sesi latihan pada hujung minggu. Keadaan itu menyebabkan kami sukar menarik bakat terbaik ke kelab ini dan ini menjejaskan pembangunan sukan itu juga,” katanya.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Wong Shaw Voon berkata, lebuh raya utama di Lembah Klang, termasuk Lebuhraya Persekutuan, LDP, NKVE dan Sprint beroperasi pada “Tahap Perkhidmatan (LoS) F”, tahap yang paling rendah.
Lebuh raya yang beroperasi pada tahap LoS F dinilai daripada kesesakaan yang teruk, pergerakan kenderaan tidak dijangka dan tersekat-sekat serta barisan kenderaan terhenti yang panjang di beberapa lokasi.
“Kesesakan berterusan hingga jalan dalam apabila pemandu menggunakan aplikasi telefon seperti Waze dan Google Maps untuk mencari laluan paling cepat samapi ke lokasi mereka.”
Wong berkata, penggunaan pengangkutan awam yang lebih meluas boleh membantu mengurangkan kesesakan jalan raya.