
PETALING JAYA: Dua NGO yang terlibat dalam merawat penagih dadah menggesa kerajaan berunding dengan mereka mengenai cadangan undang-undang bertujuan mengutamakan rawatan berbanding tindakan menghukum.
Menggesa perbincangan dijalankan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), mereka mendakwa masyarakat sivil tidak terlibat dalam undang-undang yang dicadangkan itu walaupun menteri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bulan lepas bahawa rangka kerjanya telah siap.
Saifuddin juga berkata, rangka kerja Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
Presiden Persatuan Pengasih Malaysia Ramli Abd Samad berkata, pusat pemulihan yang diasaskan dan dikendalikan sepenuhnya oleh bekas penagih itu tidak dirujuk.
Beliau berkata, mereka tidak mempunyai butiran lanjut mengenai cadangan pindaan undang-undang itu tetapi berharap dapat memberikan input sebelum ia dibentangkan di Parlimen.
Menurut laporan, undang-undang baharu itu bertujuan menyahjenayahkan kesalahan dadah kecil dan membantu mengurangkan kesesakan dalam penjara.
“Rawatan dan pemulihan penagih dadah harus dianggap sebagai isu kesihatan, bukannya kesalahan jenayah.
“Ia perlu diuruskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” kata Ramli kepada FMT.
“Kami berharap rang undang-undang (RUU) itu menggalakkan pendekatan alternatif untuk menangani ketagihan dadah, seperti terapi pengurangan kemudaratan dan pusat sehenti untuk memulihkan ketagihan.”
Ramli turut mencadangkan supaya perkhidmatan rawatan dan pemulihan disalurkan kepada NGO.
“Ini akan menjimatkan kos dan mengurangkan kesesakan di Agensi Anti-dadah Kebangsaan dan penjara.”
Tahun lepas, FMT melaporkan kos RM20,690 setahun untuk menahan seseorang di penjara, manakala 60% banduan terdiri daripada mereka yang disabitkan dengan kesalahan kecil dadah.
Ignatius Wong, penyelaras Pusat Grace, iaitu pusat pemulihan untuk penyalahgunaan dadah dan alkohol, berkata organisasinya juga ingin dirujuk mengenai RUU itu.
“Setakat yang saya tahu, kebanyakan pusat (merawat ketagihan) belum dirujuk,” kata Wong kepada FMT.
Beliau berkata, penting Pusat Grace dan pihak berkepentingan lain yang bekerja di lapangan memberikan input mereka, kerana organisasi ini mempunyai pengalaman praktikal dalam menangani penyalahgunaan bahan itu.