
KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) negara bagi Februari 2023 kekal pada 129.8 atau 3.7%, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan inflasi di Malaysia pada Februari 2023 kekal didorong oleh restoran dan hotel (7.4%) dan makanan dan minuman bukan alkohol (7.0%).
Namun begitu, peningkatan lebih perlahan bagi kumpulan pengangkutan, iaitu 3.7%, berbanding Januari 2023 (4.0%) sedikit sebanyak mengimbangi inflasi daripada terus meningkat.
“Selain itu, kenaikan inflasi di Malaysia turut didorong oleh kenaikan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.4%); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.5%) dan kesihatan (1.8%),” katanya.
Perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan masing-masing merekodkan peningkatan 1.7%, manakala pendidikan mengembang 1.6%. Kedua-dua minuman alkohol dan tembakau serta pakaian dan kasut, masing-masing meningkat sebanyak 0.8% dan 0.4% berbanding Februari 2022.
Mohd Uzir Mahidin turut menambah, kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5% daripada keseluruhan IHP merekodkan peningkatan 7.0% (Januari 2023: 6.7%).
Daripada 230 item makanan, sebanyak 203 item atau 88.3% merekodkan kenaikan harga, katanya.
Beliau berkata, komponen makanan di rumah yang menyumbang hampir 58% daripada keseluruhan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol mencatatkan peningkatan lebih tinggi kepada 5.8% berbanding 5.1% pada Januari 2023.
Namun begitu, komponen makanan di luar rumah mencatatkan kenaikan yang lebih rendah, iaitu 8.9% berbanding Januari 2023 (9.3%), tambahnya.
“Antara makanan di luar rumah yang mencatatkan peningkatan lebih perlahan adalah sate, iaitu 9.9%; nasi campur (9.1%); nasi ayam (7.8%); dan masakan berasaskan daging (7.3%).
Beliau seterusnya berkata, untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan meredakan inflasi makanan di luar rumah, kerajaan memperkenalkan inisiatif Menu Rahmah pada 31 Jan 2023.
“Bagaimanapun, hujan lebat berterusan sejak akhir Disember 2022 hingga Februari 2023 di beberapa negeri mendorong kepada kenaikan harga makanan, terutamanya sayur-sayuran.
“Kesan daripada perubahan monsun ini, inflasi bagi subkumpulan sayur-sayuran mencatatkan peningkatan ketara kepada 5.8%, berbanding 1.0% pada Januari 2023,” katanya.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata, inflasi teras yang mengukur perubahan dalam harga barang dan perkhidmatan, tanpa mengambil kira harga makanan segar yang tidak menentu serta harga barangan kawalan oleh kerajaan, mencatatkan peningkatan lebih perlahan, iaitu 3.9% tahun ke tahun pada Februari 2023.
Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol iaitu 7.6%, jelasnya.
Selain itu, kumpulan restoran dan hotel turut mencatatkan kenaikan 7.4%, diikuti pengangkutan (6.2%); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.4%) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.9%).