
PETALING JAYA: Jabatan Imigresen (JIM) mengesahkan lima pegawainya di Sabah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin kerana disyaki terlibat dalam sindiket menyeludup pendatang asing tanpa izin (Pati).
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ruslin Jusoh, berkata pihaknya sama sekali tidak akan melindungi pegawai terlibat dalam aktiviti tidak berintegriti.
“JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawainya yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan serta tidak akan melindungi mereka yang terlibat dalam aktiviti tidak berintegriti.
“Tindakan dan hukuman yang serius akan diambil termasuk buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, JIM serius dan komited memastikan tahap integriti pegawainya sentiasa berada di tahap maksimum.
“Selain daripada itu, jabatan ini sentiasa bekerjasama erat dengan agensi lain termasuk SPRM dalam usaha memerangi penyeludupan migran,” katanya.
Sementara itu, SPRM dalam kenyataan, berkata sembilan individu termasuk lima pegawai imigresen ditahan dalam Ops Lancar dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara.
Katanya, lima penguatkuasa berkenaan termasuk dua pegawai wanita, yang berusia dalam lingkungan antara 30 hingga 41 tahun, ditahan pada kira-kira 2.30 petang hingga 8.40 malam.
“Modus operandi sindiket itu, setiap Pati atau Pemastautin Sementara yang tidak memiliki dokumen lengkap atau mempunyai sekatan, perlu membayar sekitar RM2,500 kepada ejen pendatang jika ingin keluar dari Sabah melalui Lapangan Terbang Tawau.
“Sindiket ini kemudiannya akan membekalkan MyKad tulen dan pas masuk menaiki pesawat di atas nama pemilik asal MyKad, kepada kumpulan Pati menggunakan khidmat mereka,” katanya menurut Bernama.
Kenyataan itu memaklumkan Pati dari negara jiran, kemudian akan melepasi pemeriksaan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tawau dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2), selepas bayaran rasuah dibuat kepada pegawai penguatkuasa berkenaan.
Selain itu siasatan SPRM turut mendapati, bagi setiap penerbangan ke Klia2, ejen akan membawa masuk antara lima hingga 20 Pati, dan sindiket ini dipercayai sudah beroperasi sejak 2018.