
PETALING JAYA: Bilangan mangsa banjir di Batu Pahat terus mencatatkan penurunan kepada 343 orang malam tadi berbanding 369 orang sebelumnya selepas sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu ditutup.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, PPS Sekolah Agama (SA) Seri Bertam itu ditutup 6 petang semalam selepas dibuka sejak 2 Mac lalu yang menempatkan penduduk Kampung Haji Kamisan, Taman Selatan, Kampung Parit Lapis Terus dan Kampung Haji Mian.
Manakala PPS lain yang masih beroperasi dan menempatkan 87 keluarga adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Medan (156 orang), Dewan Orang Ramai Yong Peng (114 orang), SA Seri Comel (54 orang) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Hua Min (19 orang).
“Kawasan Dewan Undangan Negeri di daerah itu yang masih terjejas banjir adalah Sri Medan, Yong Peng, Parit Yaani dan Senggarang,” menurut jawatankuasa itu dalam kenyataan malam tadi, menurut Bernama.
Selain itu, JPBN turut memaklumkan Sungai Bekok di Empangan Bekok masih berada di paras amaran dengan bacaan 18.98 meter.