
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan melanjutkan tarikh akhir untuk memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi tiga sektor kepada tiga bulan lagi sehingga 15 Jun ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah.
Sebelum ini dilaporkan, tarikh akhir untuk memperbaharui PLKS untuk tukang emas, tukang gunting dan pekerja sektor tekstil adalah pada 15 Mac ini.
“Kami memberi lanjutan sehingga 15 Jun untuk mereka melanjutkan PLKS. Selepas tarikh itu tiada lagi lanjutan,” katanya di Dewan Rakyat.
Terdahulu, pekerja yang tamat PLKS sebelum Mac boleh memperbaharui pas mereka untuk setahun lagi sebelum perlu kembali negara masing-masing.
Shamsul berkata, kerajaan akan mempertimbangkan perkara itu selepas hasil kajian sesi libat urus bersama pemegang taruh dibentangkan oleh menteri sumber manusia.
Beliau menjawab soalan M Kula Segaran (PH-Ipoh Barat) yang bertanya mengenai status pekerja asing di tiga sektor itu.
Kula menggesa kerajaan membenarkan tukang emas mengambil pekerja dari India kerana mereka pakar membuat loket keagamaan, satu kepakaran yang tidak terdapat di negara ini.
Pada 14 Mac lalu, Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia, N Gobalakrishnan, berkata kira-kira 10,000 perniagaan India dalam tiga sektor mungkin terpaksa ditutup kerana PLKS untuk baki pekerja asingnya akan ditamatkan secara berperingkat.
Tiga sektor itu ialah tukang emas, tekstil dan tukang gunting rambut kekurangan pekerja sejak pembekuan pada 2009.
Gobalakrishnan berkata, pekerja asing sedia ada menggunakan pas kerja sementara yang diperbaharui setiap tahun.