
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan sedang merangka semula dasar dan skop penggunaan wang ehsan kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu.
Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan, berkata ia supaya penggunaan dana itu selaras agenda nasional bagi mengurangkan tahap kemiskinan di dua negeri Pantai Timur Semenanjung itu.
“Bagaimanapun, hasil petroleum akan dibayar terus kepada negeri, sekiranya didapati dan diperoleh minyak dalam perairan wilayah tiga batu nautika, yang diukur daripada garis air surut selaras Akta Laut Wilayah 2012,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan titah diraja bagi kementeriannya di Dewan Negara.
Ketika ini, katanya, penyaluran wang ehsan kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu merupakan budi bicara kerajaan persekutuan memandangkan tiada petroleum yang diperoleh berdasarkan peruntukan akta itu.
Ahmad turut memaklumkan wang ehsan yang dibayar kepada Kelantan sebanyak RM344.60 juta, manakala RM1.69 bilion untuk Terengganu pada 2022.