
PETALING JAYA: Seorang jurutera sebuah syarikat di Simpang Ampat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kerugian lebih RM125,000 selepas ditipu dalam pertandingan “teka tajuk lagu”.
Mangsa berusia 27 tahun mendakwa menerima panggilan dari sebuah syarikat di Hong Kong yang memintanya meneka tajuk lagu, pertengahan bulan lalu.
Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Tan Cheng San, berkata hadiah ditawarkan sindiket itu kepada mangsa bernilai RM326,000.
“Selepas panggilan pertama, mangsa kemudian dihubungi sekali lagi oleh suspek memaklumkan dia memenangi hadiah wang tunai berkenaan selepas kononnya berjaya meneka tajuk lagu terbabit.
“Bagaimanapun, sebelum melayakkan mangsa mendapat hadiah itu, dia perlu melakukan tiga transaksi ke akaun berbeza bagi pelbagai tujuan antaranya pendaftaran dan proses kemasukan wang ke dalam negara,” katanya menurut Berita Harian.
“Mangsa mempercayai kata-kata suspek terus mengikuti arahan dan memasukkan wang secara berperingkat berjumlah RM125,620.”
Katanya, mangsa mula menyedari ditipu apabila suspek meminta wang tambahan sebanyak RM50,000.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis Jumaat lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.