
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying ditegur kerana gagal menyediakan jawapan ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
“Ini tidak sepatutnya berlaku. Ia memberi satu senario yang tidak baik kepada kerajaan,” kata Timbalan Speaker Ramli Nor kepada Lim.
“Saya berharap pihak kerajaan ambil maklum tentang perkara ini.”
Terdahulu, Ahli Parlimen pembangkang menyuarakan bantahan ketika Lim memberitahu Dewan Rakyat, beliau belum menyediakan jawapan kepada soalan Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa).
Sebelum itu, Ahmad bertanya rancangan Kementerian Pendidikan untuk memastikan pelajar mendapat makanan berkhasiat di sekolah.
Lim memohon maaf dan berkata dia tidak akan mengulangi kesilapannya.
‘Di luar kelaziman’
Sementara itu, Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Swee Kuan, berkata apa yang berlaku adalah di luar kelaziman.
Katanya, kebiasaannya proses penyediaan jawapan lisan berdasarkan bilangan maksimum soalan yang boleh dijawab oleh semua kementerian iaitu antara 11 hingga 13 soalan untuk dijawab dalam tempoh 90 minit.
“Pegawai akan memberi taklimat secara terperinci kepada menteri atau timbalan menteri yang akan menjawab bagi soalan yang muncul pada 15 soalan pertama.
“Pihak kami menyediakan jawapan terperinci bagi tiga soalan iaitu soalan ke-4, ke-8 dan ke-11. Timbalan menteri juga menjawab semua tiga soalan seperti kelaziman pagi tadi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, bagaimanapun tanpa diduga hari ini pihaknya menerima soalan ke-16 pada 11.35 pagi.
“Pihak kami akan mengambil langkah lebih proaktif untuk mengelak perkara seperti ini berlaku lagi,” katanya.