
KUANTAN: Pembangkang di Pahang bersetuju agar rang undang-undang (RUU) anti-lompat parti dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dijadualkan Mei ini.
Ketua Pembangkang DUN Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man juga mencadangkan sesi taklimat dan perbincangan antara kedua-dua pihak dapat diadakan sebelum persidangan berlangsung, supaya mereka dapat meneliti RUU itu.
“Saya ingin tegaskan keperluan RUU ini dibentang dalam persidangan (DUN Pahang) akan datang walaupun setakat ini ada beberapa negeri yang masih belum membentangkannya.
“Saya bagi jaminan bahawa mana-mana RUU yang mendatangkan kebaikan kepada kestabilan politik, kebajikan rakyat dan pembangunan negeri akan disokong sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.
Tuan Ibrahim berkata, mereka juga bersetuju dengan pandangan bahawa kerajaan negeri perlu selaras dengan keputusan kerajaan persekutuan, iaitu dengan Akta Anti-Lompat Parti berkuat kuasa pada 5 Okt lalu.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yang juga Adun Cheka mendakwa setakat ini, pihaknya belum menerima notis persidangan.
Isnin lalu, Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail pada sidang media berkata kerajaan negeri sedia membentangkan RUU itu pada persidangan DUN terdekat, jika mendapat sokongan dua pertiga wakil rakyat iaitu 28 kerusi.
Ia berikutan kerajaan negeri selepas PRU15 tidak mencukupi jumlah itu, menyebabkan mereka perlu mendapatkan sokongan pembangkang terlebih dahulu, bagi memastikan RUU berkenaan diluluskan.
Komposisi DUN Pahang selepas PRU15 ialah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh 17 kerusi manakala lapan kerusi lagi dimenangi Pakatan Harapan (PH).