
PETALING JAYA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana pemimpin memasuki kampusnya, selagi memberi manfaat kepada mahasiswa, kata Naib Canselornya, Roziah Janor.
Katanya, pihak yang ingin menganjurkan program dalam kampus itu perlu mematuhi prosedur dan melalui proses secara berhemah.
Kenyataan ini menyusul tindakan UiTM Shah Alam membatalkan sesi dialog menampilkan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman malam tadi atas alasan “mengekalkan keharmonian di kampus”.
Roziah berkata, UiTM secara peribadinya tiada masalah dengan Ahli Parlimen Muar itu.
“Sebenarnya isu semalam berlaku kerana penganjur tidak melalui proses yang berhemah, permohonan tidak dibuat melalui pejabat naib canselor.
“Kita tidak menerima surat (permohonan) daripada penganjur. Saya difahamkan semasa Syed Saddiq hadir di pintu utama, dia berkata hadir atas jemputan penganjur,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Sesi dialog “Pelajar Praktikal Bukan Buruh Paksa” anjuran Ikatan Mahasiswa Demokratik dijadualkan berlangsung di Dataran Cendekiawan UiTM Shah Alam malam tadi. Tetapi, UiTM memberi amaran kepada pelajarnya tidak menyertai sesi dialog itu kerana tidak mendapat kelulusan universiti.
Roziah berkata, individu bertanggungjawab menyebabkan Syed Saddiq gagal masuk ke kampus itu semalam ialah pihak yang menjemputnya.
“Kita tidak pernah menghalang mana-mana pemimpin kerajaan masuk ke sini. Contohnya, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail tiada masalah dan kita sentiasa menerima dengan tangan terbuka.
“Kehadiran dua pemimpin itu ada yang menghantar dan menjemput, tetapi Syed Saddiq semalam kita tidak dapat lakukan kerana sudah 10 malam dan mahasiswa kita masih menjalani program sempena Ramadan.”
Jika Syed Saddiq masih berminat menemui pelajar UiTM, beliau berkata, pihaknya terbuka meneliti semula permohonan rasmi daripada penganjur.
Katanya, permohonan itu perlu disertakan tajuk perbincangan dan jemputan terbabit perlu relevan dengan pelajar UiTM.
“Kerana jika perbincangan berkaitan Akta Universiti Kolej Universiti, ia tiada kaitan dengan pelajar UiTM. Ini disebabkan pelajar UiTM tertakluk di bawah Akta 173 dan 174.”