
PETALING JAYA: Adun Tanjung Bidara Ab Rauf Yusoh mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Melaka ke-13.
Ketua Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam di pejabatnya.
Beliau menggantikan Sulaiman Md Ali, yang meletak jawatan semalam selepas berkhidmat buat kali kedua sebagai ketua menteri dari November 2021.
Rauf sebelum ini adalah exco pelaburan, perindustrian, pembangunan koperasi dan usahawan negeri.
Beliau juga speaker DUN Melaka dari Mei 2020 hingga November 2021, ketika Sulaiman mula berkhidmat sebagai ketua menteri.
Beliau kemudiannya bertanding di kerusi negeri buat julung kali pada PRN 2021 dan memenangi DUN Tanjung Bidara.
Rauf berulang kali dikaitkan dengan jawatan ketua menteri sejak BN memenangi PRN Melaka pada November 2021.
Sulaiman pertama kali mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Melaka pada Mac 2020 selepas Langkah Sheraton yang menyaksikan kejatuhan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) dan kemudian kerajaan Melaka juga.
Beliau dilantik ke jawatan sama selepas BN menang besar dalam PRN Melaka pada 2021.
Semalam, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Rauf dinamakan sebagai calon ketua menteri Melaka, susulan peletakan jawatan Sulaiman atas faktor kesihatan.