
PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Kuala Lumpur melepas dan membebaskan SM Faisal SM Nasimuddin daripada tuduhan mencederakan Emilia Hanafi selepas bekas isterinya itu menarik balik kes terhadapnya.
Majistret Nadia Othman membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Akberdin Abdul Kader untuk SM Faisal dibebaskan daripada pertuduhan terbabit susulan persetujuan Emilia menarik balik kes itu.
“Saya percaya pihak-pihak telah berdamai dan mencapai jalan penyelesaian, saya melepas dan membebaskan SM Faisal daripada pertuduhan, manakala wang jaminan dikembalikan,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Terdahulu, Nizam Bashir, peguam pemerhati yang mewakili Emilia memberitahu mahkamah, SM Faisal dan Emilia mencapai penyelesaian global supaya semua pertikaian mereka diselesaikan secara baik.
Pada awal prosiding, Akberdin yang hadir bersama Jagjit Singh mengemukakan permohonan lisan untuk Emilia dirujuk kepada pakar psikiatri mengikut Akta Kesihatan Mental 2001.
Katanya, pihak pembelaan akan mengemukakan permohonan bertulis yang disertakan afidavit sokongan sama ada wanita itu layak dari segi mental untuk memberi keterangan sebagai saksi.
“Kami mohon diberi laluan membuat permohonan itu dan dijawab oleh pihak berkenaan dan kita akan lihat (perkembangan) dari situ nanti.”
Di luar mahkamah, Nizam berkata, kes itu berjaya diselesaikan secara global dengan mengambil berkat bulan Ramadan serta atas faktor kemaslahatan anak mereka.
Tanpa mendedahkan terma penyelesaian yang disifatkan sulit, katanya, penyelesaian global itu termasuk tuntutan mutaah dan harta sepencarian di Mahkamah Syariah.
Sementara itu, Akberdin memaklumkan, kedua-dua pihak mencapai persetujuan tidak mendedahkan terma penyelesaian kepada umum.
SM Faisal ketika ditemui media menyuarakan kesyukuran atas berita baik itu.
“Alhamdulillah, kes sudah selesai dengan cara baik pada bulan Ramadan. Kes ini telah berjalan bertahun-tahun dan sekarang nak fokus dan tengok anak-anak balik dengan cara yang baik.”