
ALOR SETAR: Bekas Adun Bukit Kayu Hitam Ahmad Zaini Japar, 67, meninggal dunia hari ini.
Perkara itu dimaklumkan anaknya Ahmad Qusyairi menerusi hantaran di Facebook menyatakan bapanya meninggal dunia pada 5.42 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan punca Allahyarham meninggal dunia.
“Abah pergi di bulan Ramadan yang penuh mulia. Dimaklumkan bahawa ayah saya (Datuk) Ahmad Zaini Japar telah kembali ke rahmatullah pada jam 5.42 pagi di PPUM Kuala Lumpur.
“Solat jenazah dan penghormatan terakhir akan diadakan di rumah Allahyarham di No.176, Jalan Indah 3, Suasana Indah, Jitra, Kedah selepas selesai urusan di hospital,” katanya.
Ahmad Qusyairi berkata, jenazah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Changlun, Changlun.
Allahyarham Ahmad Zaini yang juga bekas ketua Umno Kubang Pasu memenangi kerusi DUN Bukit Kayu Hitam dalam PRU12 pada 2008 dan berjaya mempertahankan kerusi itu di PRU13.
Bagaimanapun pada PRU14, Allahyarham gagal mempertahankan kerusi itu apabila tewas kepada calon PKR dan difahamkan tidak melibatkan diri dalam PRU15 disebabkan masalah kesihatan.