
PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron, mencadangkan Adun Pakatan Harapan (PH) dilantik exco, mengetuai portfolio yang mencerminkan jawatan disandang gabungan itu di peringkat pusat.
Bercakap kepada FMT, Idris berkata, langkah itu boleh mengurangkan birokrasi dan memastikan komunikasi dan gerak atur jelas antara Putrajaya dan kerajaan negeri Melaka baharu.
Bekas pemimpin Umno itu, berkata contoh utama melibatkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, yang diketuai wakil DAP, Nga Kor Ming.
“Jadi, dalam kerajaan negeri, portfolio sama sepatutnya dilantik dalam kalangan pemimpin PH. Boleh jadi daripada DAP, PKR, atau Amanah, namun ia mesti daripada PH,” katanya.
“Perkara sama juga terpakai kepada Kementerian Belia dan Sukan. Adalah lebih cekap sekiranya mereka (exco) dari parti sama dengan menteri.”
Idris berkata, walaupun menjangka ada kekangan berhubung jawatan tertentu diintai kalangan Adun BN, beliau berkata, ketua menteri Melaka yang baharu, Ab Rauf Yusoh dan kumpulannya beralah dan menunjukkan “keazaman politik berhemah” demi agenda lebih besar.
Idris berkata, dengan melakukan sedemikian banyak membantu Rauf serius mengenai perkongsian kuasa kerana beliau sebelum ini didakwa melobi jawatan kepada pemimpin tertinggi parti untuk dinamakan memegang jawatan ketua menteri, selepas pilihan raya negeri, pada November 2021.
“Sekarang, tiba masa untuk Rauf menunjukkan keikhlasan Umno, memandangkan mereka mempunyai majoriti Adun,” katanya.
“Ia perlu dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan menunjukkan kerajaan perpaduan dibentuk demi meningkatkan kebajikan dan politik negeri. Ia bukan hanya sekadar membentuk kerajaan perpaduan sahaja.”
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 Adun dengan 21 daripadanya terdiri wakil Barisan Nasional (BN), lima daripada PH, dan dua Perikatan Nasional.
Sebelum ini, seramai 11 Exco Melaka dilantik yang mana sembilan Adun Umno, dan masing-masing satu daripada MCA dan MIC.
Semalam, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan baharu Melaka perlu mencerminkan komposisi seperti mana kerajaan perpaduan di peringkat pusat, sambil menyatakan perbincangan akan diadakan bersama Rauf, sebelum sebarang keputusan dibuat.
Rauf mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Melaka ke-13, pada Jumaat, selepas Sulaiman Ali meletak jawatan, pada Khamis.
Idris, yang pernah menjadi ketua menteri Melaka bermula 2013-2018, berkata penting bagi Adun BN menawarkan perkongsian di akar umbi dengan lima Adun PH – Adly Zahari (Bukit Katil), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Allex Seah (Kesidang), Low Chee Leong (Kota Laksamana), dan Leng Chau Yen (Bandar Hilir).
“Hanya dengan itu, rakyat akan merasai perubahan dan menyedari wujudnya kerajaan baharu negeri,” katanya.
“Ia tidak lah banyak menyumbang demi memenangi hati rakyat, namun bertujuan menunjukkan kerajaan ikhlas menangani kebimbangan mereka. Ini menjadi perkara asas dalam membangunkan negeri dan menarik pelabur.”