
PETALING JAYA: Bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa dialu-alukan untuk menyertai PAS, seperti beberapa ahli politik lain yang akan turut menyertai parti itu, kata Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar.
Samsuri berkata, PAS berbesar hati menerima tokoh terkemuka seperti Annuar, yang juga veteran Umno, bekas menteri dan bekas Ahli Parlimen Ketereh.
“Saya percaya orang yang ada pengalaman seperti Annuar dan lain-lain juga ada peranan masing-masing, untuk sama-sama perkasakan PAS,” katanya selepas majlis berbuka puasa di Serdang, Selangor, anjuran kerajaan Terengganu.
Tambahnya, pemimpin lain yang kecewa dengan kepimpinan parti mereka akan menyertai PAS tidak lama lagi, namun beliau tidak mengulas lanjut.
Annuar dipecat daripada Umno pada Disember. Timbul spekulasi bahawa beliau akan menyertai PAS tidak lama lagi.
Pada Februari, beliau berkata, beliau “serius mempertimbangkan” untuk menyertai parti politik baharu yang padan dengan nilai politiknya, iaitu “melindungi Islam, orang Melayu dan negara”.
Berhubung perkembangan lain, Samsuri, yang juga menteri besar Terengganu, berkata, kerajaan negeri telah menerima bayaran pendahuluan “royalti petroleum” tahunan daripada Putrajaya.
“Kita masih lagi berbincang dgn kerajaan pusat tapi sehingga beberapa hari yg lepas, kita ada menerima sedikit pendahuluan daripada peruntukan itu. Bukan sepenuhnya lagi,” katanya tanpanya menyatakan jumlahnya.
Pada Februari, Samsuri berkata, beliau berharap kerajaan Anwar Ibrahim meneruskan pembayaran geran khas, yang diberikan oleh kerajaan persekutuan sebagai ganti royalti.
Samsuri berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan penjelasan Perbendaharaan sama ada pemberian sebelum ini adalah bayaran royalti petroleum.
Bagaimanapun, Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kerajaan negeri hanya berhak mendapat royalti jika minyak ditemui dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai mereka.
Terengganu dan Kelantan tidak layak menerima royalti 5% kerana Petronas mengekstrak minyak mentah melebihi had tiga batu nautika.
Pemberian khas itu juga dipanggil “wang ehsan” pada masa lalu. Tahun lepas, wang ehsan bernilai RM344.60 juta telah dibayar kepada Kelantan manakala Terengganu menerima RM1.69 bilion.