
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan rang undang-undang memansuhkan hukuman mati mandatori melalui undian suara.
Terdahulu, Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, dibentangkan bagi bacaan kedua dan ketiga dibacakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh, mencadangkan hakim diberikan kuasa budi bicara dalam menjatuhi hukuman.
Rang undang-undang itu juga mencadang membenarkan hakim pilihan mengenakan hukuman penjara sehingga 40 tahun menggantikan hukuman mati mandatori.
Seramai 10 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang berkenaan.
Ramkarpal berkata, penting memansuhkan hukuman mati mandatori kepada hukuman alternatif memandangkan hukuman mati tidak dapat “ditarik balik”.
“Hukuman mati tidak membawa kesan seperti dikehendaki,” katanya dalam penggulungan perbahasan di Dewan Rakyat.
“Kita mesti menaruh keyakinan kepada badan kehakiman melaksanakan budi bicara mereka dengan adil.”
Menurut Ramkarpal, kerajaan juga mendapatkan pandangan ahli keluarga menjadi mangsa bunuh sebelum membuat keputusan memansuhkan hukuman mati mandatori.
Beliau menjelaskan, bekas ketua hakim negara, Richard Malanjum, yang mengetuai Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori, pada 2020, juga ada bertemu dengan ahli keluarga mangsa.
“Kerajaan tidak hanya mendapatkan pandangan sebelah pihak sahaja, tapi kedua-dua belah pihak – yang pro-pemansuhan dan yang anti-pemansuhan – dalam membuat keputusan,” katanya.
“Keputusan juga mempertimbangkan faktor lain seperti prinsip perkadaran, sama ada hukuman mati setimpal dengan jenayah dilakukan, hak asasi pesalah, dan sama ada pemulihan keadilan tercapai.”
Ramkarpal menegaskan pemansuhan hukuman mati mandatori tidak bermakna penghapusan sepenuhnya hukuman mati membabitkan 11 kesalahan lain.
Dalam perkembangan berasingan, Ramkarpal berkata, kerajaan sedang mengkaji ‘diyat’, yang mana merupakan bentuk pampasan diberikan kepada ahli keluarga mangsa melibatkan kesalahan serius dalam undang-undang Islam.