
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang membenarkan banduan menanti hukuman mati memfailkan semakan terhadap hukuman dalam tempoh 90 hari selepas undang-undang itu berkuatkuasa.
Rang Undang-Undang (RUU) Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023, diluluskan menerusi undian suara selepas ia dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh.
RUU berkenaan bertujuan memberi kuasa kepada Mahkamah Persekutuan menyemak rayuan 842 banduan yang menanti hukuman mati.
Banduan terbabit hanya dibenarkan memfailkan permohonan semakan hukuman sekali sahaja. Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan dibenarkan melanjutkan tempoh masa melebihi 90 hari.
Ramkarpal berkata, sejurus digazet, RUU terbabit hanya membenarkan semakan hukuman dibuat, berbanding semakan sabitan.
Pada 23 Mac, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat dijangka melibatkan 957 banduan menanti hukuman mati dan dikenakan pemenjaraan sepanjang hayat, yang mana sudah menggunakan sepenuhnya proses rayuan mahkamah.
Terdahulu, Dewan Rakyat juga meluluskan RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, yang mencadang pemberian kuasa budi bicara kepada hakim dalam menentukan hukuman.
RUU itu juga memberi pilihan kepada hakim menjatuhi hukuman penjara sehingga 40 tahun sebagai ganti kepada hukuman mati mandatori.