
PETALING JAYA: Sebuah pasukan pemantau menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri perlu ditubuhkan bagi meneliti perkembangan berhubung komitmen pelaburan diperoleh Malaysia, kata bekas menteri kewangan kedua Johari Ghani.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, ia penting bagi memantau setiap perkembangan selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara syarikat Malaysia dengan negara berkenaan, sekali gus penyelesaian perlu dilakukan segera daripada permasalahan berbangkit.
Katanya, ini bagi memastikan setiap pelaburan yang masuk ke Malaysia berjalan lancar.
“Mana-mana MoU punya tahap ini, ia mesti ada pemantauan, memastikan MoU yang kita tandatangan ini mesti ada susulan sebab nak ketahui apa masalah berbangkit, yang berdepan dengan pelabur berpotensi ini, kita tidak boleh biarkan begitu sahaja.
“Mesti ada pasukan pemantau, ia boleh dipantau menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, serta laporkan dari semasa ke semasa, mengapa mereka jadi, mengapa mereka tak jadi, mengapa boleh tangguh, kena ada pemantauan,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China.
Ia hasil 19 MoU dimeterai antara syarikat Malaysia dengan China dan pencapaian itu diumumkan di hadapan ribuan pelabur serta ahli perniagaan pada Forum Perniagaan Malaysia-China 2023, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Johari berkata setiap perkembangan perlu dibawa ke Jemaah Menteri untuk dibentangkan bagi menyelesaikan isu berbangkit melibatkan agensi, jabatan atau kementerian lain.
“Maka dekat situ kita akan selesaikan masalah sebab kalau dari segi ramai pelabur luar buka mata ini, buka mata sekejaplah, tetapi kalau tidak direalisasikan, selepas ini orang tidak akan percaya kita lagi,” katanya.