
PETALING JAYA: Keputusan Umno mempersembahkan permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memberi pertimbangan pengampunan kepada bekas presidennya, Najib Razak tidak akan menjejaskan hubungannya dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti lain dalam kerajaan perpaduan.
Naib presiden Umno itu berkata, parti berkenaan hanya mahu menunjukkan penghargaannya kepada bekas perdana menteri itu yang memerintah negara selama sembilan tahun sebelum Barisan Nasional tumbang pada PRU 2018.
“Hubungan dengan PH dalam kerajaan perpaduan bukan isu, (perkara itu) terpulang kepada Agong; ini Umno hantar (permohonan) pengampunan kepada Agong,” katanya menurut Malay Mail.
Khaled turut mengulangi kenyataan Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki bahawa Majlis Kerja Tertinggi akan memohon pengampunan diraja untuk Najib kerana parti itu percaya beliau dinafikan keadilan.
Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, selepas didapati bersalah atas kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang berhubung RM42 juta dana SRC.
Isnin lalu, Najib dilaporkan berkata, beliau akan menggunakan penghakiman menentang oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Abdul Rahman Sebli bagi menyokong permohonan pengampunan dirajanya.
Pada 31 Mac lalu, Rahman mengeluarkan penghakiman minoriti setebal 78 muka surat yang menyatakan Najib tidak mempunyai representasi undang-undang, apabila panel Mahkamah Persekutuan mendengar dan menolak rayuannya dalam kes rasuah SRC International.
Rahman, yang juga hakim besar Sabah dan Sarawak merupakan seorang daripada lima panel hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar permohonan Najib untuk semakan keputusan mahkamah menolak rayuannya dalam kes SRC. Empat hakim lain mendapati tiada alasan untuk membebaskan Najib.