
KUALA LUMPUR: Misi perdagangan dan pelaburan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) ke China berjaya menjana potensi nilai eksport RM3.2 bilion, meningkat berbanding RM2.44 bilion yang diumumkan, baru-baru ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, berkata nilai potensi eksport itu disumbangkan oleh beberapa sektor ekonomi negara seperti sektor perladangan, kelapa sawit serta elektrik dan elektronik (E&E).
“Ini merupakan satu pencapaian yang agak memberangsangkan untuk peniaga-peniaga kita khususnya syarikat-syarikat Malaysia yang ingin mengeksport ke luar negara, terutamanya negara China,” katanya pada Program Ihya Ramadan anjuran Yayasan TZA & Skuad Kasih Miti.
Beliau berkata, peningkatan eksport berlaku apabila misi tersebut diteruskan ke Hong Kong, yang mana Press Metal Aluminium Holdings Bhd mendapat komitmen daripada syarikat negara itu untuk membeli hasil aluminium mereka.
Pada 4 April, Press Metal memeterai jualan eksport segera jongkong aluminium bernilai RM110 juta dengan Daching Enterprises Ltd (Daching) dari Hong Kong, selain menandatangani janji niaga eksport selama lima tahun bagi produk yang sama bernilai RM670 juta.
“Selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim pulang dari lawatan rasminya ke China, kita teruskan misi ke Hong Kong dan memperoleh komitmen tambahan dari China dan Hong Kong,” katanya.
Lawatan rasmi perdana menteri ke China dari 29 Mac hingga 1 April juga menyaksikan Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi iaitu bernilai RM170 bilion.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan melalui Miti dan agensi berkaitan akan melakukan pemantauan dalam merealisasikan potensi pelaburan dan perdagangan yang diterima dari China.
“Kita juga melaporkan kepada Jemaah Menteri mengenai pelaburan-pelaburan yang telah dikenal pasti dan setiap suku tahun, kita membuat pengumuman mengenai pelaburan yang telah direalisasikan dan diberi komitmen,” katanya.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009. Pada 2022 nilai perdagangan antara Malaysia dan China mencecah 17.1% daripada jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trilion.
Manakala, Hong Kong kekal sebagai rakan dagang penting Malaysia, dengan perdagangan melepasi nilai RM100 bilion buat kali pertama tahun lalu iaitu mencecah RM113.20 bilion, terdiri daripada eksport yang bernilai RM95.60 bilion dan import bernilai RM17.60 bilion.