
PETALING JAYA: Dewan Negara diberitahu 182,990 pelarian dan pemohon suaka dari 59 negara berada di Malaysia.
Daripada jumlah itu, kira-kira 74% atau 135,440 merupakan pelarian, manakala baki ialah pemohon suaka.
“Pelarian dan pemohon suaka dari Myanmar merupakan golongan tertinggi, iaitu 158,165 orang (86.43%),” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Armizan Ali dalam jawapan bertulis.
Beliau berkata, statistik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menunjukkan etnik Rohingya membentuk 58% daripada keseluruhan jumlah pelarian dan pemohon suaka di negara ini.
Malaysia merupakan destinasi utama untuk pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada penganiayaan dan penghapusan etnik di Myanmar.
Baki terdiri daripada warga Pakistan (6,876), Afghanistan (3,391), Yaman (3,346), Somalia (3,033), Syria (2,809), Sri Lanka (1,507), Iraq (750), Palestin (639), Iran (393), Sudan (278) dan negara lain (1,803).
Antara 2019 dan 2022, Armizan berkata, sejumlah 7,557 pelarian ditempatkan semula di negara lain seperti US, Australia dan New Zealand.