
PETALING JAYA: Kerajaan dijangka dapat menjimatkan kos sebanyak RM15 juta setahun apabila operasi helikopter ambulans ‘Emergency Medical Air Rescue Services’ (EMARS) pertama milik Jabatan Bomba bermula 1 Mei ini, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Nga berkata, kerajaan sebelum ini membelanjakan kira-kira RM20 juta setahun bagi menggunakan khidmat pakar swasta termasuk pasukan doktor udara ke kawasan pendalaman untuk kerja-kerja menyelamat dan perubatan.
“Kolaborasi multilateral bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Hal Ehwal Asli (Jakao) dalam merealisasikan perkhidmatan EMARS ini akan memberi impak tinggi kepada mutu perkhidmatan sedia ada, malah menjimatkan perbelanjaan negara dengan memperuntukkan hanya RM5 juta setahun,” katanya lapor Bernama.
Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan EMARS dan Kempen Keselamatan Musim Perayaan 2023 di pekarangan Pusat Beli-Belah AEON Shah Alam.
Katanya, ambulans udara tersebut adalah helikopter bomba sedia ada jenis Agusta AW109E tetapi diubah suai dan dilengkapi peralatan perubatan kecemasan.
Beliau berkata helikopter yang akan ditempatkan di Pangkalan Udara Bomba Wilayah Tengah, Subang itu boleh memuatkan tujuh penumpang termasuk juruterbang, pegawai perubatan dan dua mangsa pada satu-satu masa.
Nga berkata perkhidmatan ambulans udara itu bertujuan memenuhi keperluan perkhidmatan kecemasan di kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli yang sukar diakses menerusi jalan darat.
Katanya, perkhidmatan itu juga boleh digunakan untuk memindahkan mangsa kemalangan di lebuh raya yang tidak dapat diakses ambulan kerana jalan sesak serta pemindahan organ.
“Setakat ini, helikopter itu hanya akan digerakkan di seluruh kawasan di Semenanjung kerana ia melibatkan sebuah helikopter.
“Penambahan EMARS selepas ini juga bergantung kepada kewangan dan peruntukan disediakan kerajaan,” katanya.