
PETALING JAYA: Dua tenaga pengajar pusat latihan memandu maut selepas Perodua Viva dinaiki bertembung sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Baru Baling-Kupang, Baling, petang tadi.
Mereka terbunuh ialah Hanis Fahmi Abu Bakar, 23 dan Muhamad Firdaus Z Rosli, 36, selepas mengalami kecederaan pada muka serta badan.
Ketua Polis Baling, Shamsudin Mamat, berkata kemalangan berlaku pada 1.02 petang membabitkan sebuah lori jenis Isuzu dari arah Charok Nau menghala Kuala Ketil dengan Perodua Viva dari arah bertentangan.
“Perodua Viva dipercayai hilang kawalan lalu berpusing berpusing dan memasuki laluan lori sebelum bertembung.

“Kereta terbabit kemudian terbabas ke longkang di tepi jalan arah ke Kupang menyebabkan pemandu dan penumpang tersepit dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menurut Berita Harian.
Shamsudin berkata, mayat pemandu dan penumpang Perodua Viva itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.