
PETALING JAYA: Sekumpulan 160 pertubuhan masyarakat sivil menggesa syarikat pembalakan Samling Plywood, yang berpangkalan di Miri, agar menarik balik samannya terhadap sebuah NGO, SAVE Rivers dan lembaga pengarahnya, kerana didakwa memfitnah.
Mereka menghantar surat solidariti kepada Samling semalam, sebulan sebelum perbicaraan yang dijadualkan pada 15 Mei di Mahkamah Tinggi Miri bermula.
Pada masa yang sama, petisyen e-mel antarabangsa dilancarkan bagi individu yang ingin menyokong kempen tersebut.
Samling menyaman SAVE Rivers kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berhubung rundingan masyarakat tempatan bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia.
Syarikat tersebut menuntut permohonan maaf, injunksi untuk menghentikan NGO itu melaporkan tuntutan masyarakat, dan ganti rugi RM5 juta, kira-kira 45 kali ganda belanjawan tahunan SAVE Rivers.
Kenyataan bersama The Borneo Project dan Bruno Manser Fonds berkata, antara yang menandatangani surat solidariti itu termasuk pertubuhan antarabangsa mengenai keadilan iklim dan alam sekitar seperti Greenpeace, Friends of the Earth, Rainforest Action Network, dan International Union for the Conservation of Nature Netherlands. .
Surat itu turut ditandatangani organisasi hak asasi manusia dan pemuliharaan Malaysia seperti Suaram, RimbaWatch, Freedom Film Network, dan Teoh Beng Hock Trust for Democracy.
Jawatankuasa Bertindak Hak Komuniti Gerenai, yang menyatukan semua komuniti dalam unit pengurusan hutan Gerenai Samling, juga sebelum ini menghantar surat solidariti berasingan kepada syarikat itu.
Katanya, kebanyakan artikel yang menurut Samling bersifat memfitnah ialah hasil usaha mereka untuk mencapai keterangkuman, maklumat wajar dan kejelasan.
Pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pembela Hak Asasi Manusia, dan Hak Orang Asal, serta Business and Human Rights Resource Centre mengiktiraf saman ini mungkin diklasifikasikan sebagai Saman Strategik Terhadap Penyertaan Awam (SLAPP).
“SAVE Rivers mempertahankan bahawa saman oleh Samling ini ialah saman SLAPP,” kata Simon Siah selaku peguam SAVE Rivers.