
PETALING JAYA: Kedah akan menjadi tumpuan kempen parti gabungan kerajaan perpaduan menjelang PRN di enam negeri.
Ketua Umno Kedah, Mahdzir Khalid, berkata penubuhan Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah akan menjadi platform dalam membentuk gandingan jitu membabitkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) khususnya dalam berhadapan saingan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.
Menurutnya, kerjasama gabungan BN-PH juga memberikan tawaran baharu kepada rakyat Kedah khususnya melibatkan penyelesaian isu air selain fokus kepada golongan muda.
“Sepatutnya kerajaan negeri ada tanggungjawab dalam perkara yang patut diselesaikan di negeri tetapi tidak dapat diselesaikan sehingga kini. Jadi perkara yang itu kita ambil tumpuan, ini adalah ‘new deal’ kerajaan perpaduan kepada rakyat di Kedah menjelang PRN kelak.
“Penawarannya adalah nombor satu fokus kepada isu air dan nombor dua adalah melibatkan orang muda. Orang muda ini kita hendak memiliki kerjasama dengan industri yang ada,” katanya menurut Astro Awani selepas majlis sidang meja bulat, parti kerajaan perpaduan peringkat Kedah, malam tadi.
Mahdzir memaklumkan gabungan parti yang membentuk kerajaan perpaduan juga akan memberikan fokus kepada lima negeri lain pada kempen menjelang PRN.
Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa BN dan PH Kedah dijangka menyelesaikan pembahagian kerusi DUN untuk PRN selepas sambutan Aidilfitri.
Mahdzir berkata, sesi suai kenal diadakan dalam kalangan pimpinan BN dan PH di peringkat bahagian dengan semua pimpinan parti komponen dari kedua-dua gabungan itu duduk semeja melihat persediaan dilakukan.