
PETALING JAYA: Raja-raja Melayu dan yang di-pertua negeri sebagai ketua negeri masing-masing diharapkan bertindak adil dan bijaksana apabila mempertimbangkan permohonan bagi pengampunan, kata seorang bekas peguam negara.
Abu Talib Othman berkata, kuasa memberikan pengampunan terletak pada ketua negeri dalam kapasiti mereka sebagai “fountain of justice”. Kuasa mereka termasuk memberikan pelbagai bentuk pengampunan, termasuk pengampunan penuh.
“Mereka diharapkan bertindak secara adil dan bijaksana, bukan mengikut kehendak dan keinginan masing-masing,” katanya kepada FMT.
Abu Talib, yang berkhidmat sebagai peguam negara antara 1980 dan 1993, berkata demikian sebagai respons kepada persoalan sama ada ketua negeri mempunyai budi bicara mutlak untuk memberikan pengampunan atau bertindak atas nasihat lembaga pengampunan masing-masing.
Isu itu dibahaskan secara meluas baru-baru ini berikutan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memohon kepada Yang di-Pertuan Agong agar mempertimbangkan pemberian pengampunan diraja kepada bekas perdana menteri Najib Razak.
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MKT akan menghadap Agong bagi menyampaikan memorandum memohon pengampunan untuk Najib.
Abu Talib berkata, peruntukan pengampunan dalam Perlembagaan Persekutuan mencadangkan bahawa nasihat Lembaga Pengampunan tidak mengikat ketua negeri, walaupun mereka diharapkan mempertimbangkan nasihat yang diberikan.
“Tujuan Lembaga Pengampunan ditubuhkan di setiap negeri adalah untuk menasihati ketua negeri agar mempertimbangkan fakta dan keadaan setiap kes sebelum membuat keputusan,” tambahnya.
Abu Talib ialah pendakwa raya ketika bekas menteri besar Selangor, Allahyarham Harun Idris, disabitkan kesalahan rasuah pada akhir 1970-an.
Beliau menjadi peguam negara ketika bekas menteri belia dan sukan, Allahyarham Mokhtar Hashim, dijatuhi hukuman mati atas tuduhan membunuh Speaker DUN Negeri Sembilan ketika itu, Taha Talib, pada 1982.
Kedua-duanya diberi pengampunan hanya selepas menjalani hukuman penjara yang panjang.
Abu Talib berkata, bawah Perkara 42(9) Perlembagaan, setiap Lembaga Pengampunan mesti mempertimbangkan pendapat bertulis yang dibuat oleh peguam negara sebelum membuat saranan dalam apa jua keadaan.
Dalam keputusan majoriti pada 31 Mac, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib agar sabitan dan hukumannya disemak semula.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, satu-satunya hakim yang menentang dalam panel lima anggota, berkata keengganan mahkamah membenarkan penangguhan bagi rayuan utama telah melucutkan hak Najib untuk diwakili guaman yang berkesan.
Beliau juga berkata, beliau tidak menemui apa-apa dalam material yang dikemukakan pada mahkamah untuk mencadangkan bahawa pasukan pembelaan Najib, yang dirombak tiga minggu sebelum rayuan, memohon penangguhan sebagai “helah” atau sebahagian “strategi” untuk melewatkan pendengaran.
Empat hakim lain yang mendengar permohonan semakan itu terdiri daripada Hakim Vernon Ong, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais.
Najib disabitkan pada Julai 2020 atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Dia mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos tahun lepas, selepas Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan sabitan dan hukuman yang dibuat oleh dua mahkamah lebih rendah (Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan).