
PETALING JAYA: Bekalan diesel dan petrol RON95 ditambah di seluruh negara bagi menampung keperluan pengguna ketika musim perayaan, kata Salahuddin Ayub.
Menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu, berkata penambahan bekalan itu bermula Jumaat sehingga 5 Mei.
“Kerajaan telah meluluskan kuota tambahan bagi diesel dan petrol bersubsidi RON95 kepada 4,030 stesen minyak di seluruh negara.
“Kementerian lihat terhadap keperluan untuk tambah diesel dan petrol bersubsidi ketika ini. Rakyat jangan risau, bekalan petrol dan diesel tahun ini mencukupi memandangkan permintaan tinggi ketika Aidilfitri, Hari Pekerja, dan Hari Wesak,” katanya menurut Sinar Harian.
Pada Aidilfitri tahun lalu, beberapa stesen minyak dilaporkan mengalami masalah kehabisan bekalan petrol akibat berlakunya penjualan luar biasa kali ini sehingga 50% membabitkan kawasan di sekitar Pantai Timur.
Situasi itu turut menyebabkan beberapa stesen minyak terpaksa ditutup sementara kerana kehabisan bekalan.