
PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan turut menerima penganjuran majlis rumah terbuka bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang bakal dianjurkan di negeri itu.
Menteri Besar Ahmad Yaakob berkata, pihaknya menerima surat daripada kerajaan persekutuan mengenai keputusan penganjuran majlis di Kota Bharu dan tiada halangan terhadap perkara tersebut.
“Kita menerima surat serta tiada halangan, sebaliknya bersetuju kerana persiapan dibuat oleh kerajaan persekutuan dan kita dijemput bersama,” katanya lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan kemungkinan program majlis terbuka bakal dilancarkan di tiga negeri PAS termasuk Kedah ada kaitan dengan pilihan raya negeri akan datang.
“Kiranya penganjuran ini membabitkan enam negeri yang belum ada PRN. Mungkin ada tujuan, terpulang atas dia, kita tidak boleh jangka.
“Kita sebagai kerajaan negeri, terimalah dan kita terbuka atas dasar (majlis anjuran kerajaan persekutuan) … walaupun parti berbeza tetapi dari segi kerajaan, kita hormat,” katanya.
Semalam, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kerajaannya mengalu-alukan kedatangan Anwar dan Jemaah Menteri susulan penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani sempena Aidilfitri.
Pihaknya sedia menghulurkan bantuan untuk menjayakan majlis rumah terbuka berkenaan yang dijadualkan pada 13 Mei ini.
Sebelum ini dilaporkan bahawa buat julung kalinya tahun ini, majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri akan diadakan di tiga negeri iaitu Kedah, Terengganu, dan Kelantan.
Anwar berkata beliau turut akan menghadiri tiga lagi program terbuka Aidilfitri anjuran kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan.
Program rumah terbuka di Kelantan akan diadakan pada 12 Mei di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV bermula 7 malam hingga 10.30 malam.
Program di Kedah pula akan diadakan pada 29 April di Hotel Raia, Alor Setar dari 10 pagi hingga 2 petang. Di Terengganu, program akan diadakan pada 13 Mei di Dewan Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), juga dari 7 malam hingga 10.30 malam.