
PETALING JAYA: Seorang kontraktor mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas dakwaan memperdayakan seorang guru berhubung pembinaan rumah banglo yang mengakibatkan kerugian RM56,400 tahun lalu.
Sinar Harian melaporkan, tertuduh, Zahidir Zainul, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret V Vanita selepas kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Mengikut kertas pertuduhan, dia yang mengaku diri sebagai kontraktor binaan rumah memperdaya seorang lelaki berusia 42 tahun dengan mendorongnya membuat pembayaran sebanyak RM56,400 bagi tujuan membina rumah.
Tertuduh telah meyakinkan mangsa rumah akan siap dalam tempoh singkat tetapi ia adalah tidak benar.
Kesalahan itu dilakukan antara 26 Oktober 2022 hingga 22 Disember 2022 di Jalan D’Areca 2,Taman Bandar Senawang di Seremban.
Dakwaan dikemukakan terhadapnya mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara boleh sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Lee Boon Shian merayu tertuduh diberi jaminan rendah atas alasan dia bekerja sendiri sebagai kontraktor yang pendapatannya tidak tetap selain perlu menanggung seorang anak.
Selain itu, tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pecah rumah dengan mencuri seutas rantai beserta loket emas di Taman Penanga Mewah, Seremban pada 3 April 2023, jam 5.45 petang.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan bagi setiap pertuduhan RM5,000 dan sebutan semula bagi kedua-dua kes untuk dibacakan fakta dan hukuman pada 25 Mei depan.