
PETALING JAYA: Tiga lagi ditahan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki dilarikan di depan sebuah hotel di Shahab Perdana, Mergong, Alor Setar kelmarin.
Ketua Polis Kota Setar, Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata ketiga-tiganya yang berusia 39, 40 dan 42 tahun ditahan antara 7 hingga 9 malam Selasa di sekitar Changlun, Jitra dan Alor Setar, susulan tangkapan pertama pagi semalam.
Katanya, seorang wanita positif dadah antara tiga suspek terbabit yang direman bermula hari ini hingga 1 Mei.
“Ini menjadikan jumlah tangkapan berhubung kes setakat ini adalah empat orang,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, mangsa sudah ditemui, tetapi motif kejadian masih dalam siasatan.
Semalam, polis dilaporkan menahan seorang suspek bersama beberapa individu dipercayai terbabit melarikan seorang lelaki berusia 27 tahun di depan sebuah hotel di Shahab Perdana.
Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan polis selepas bapa mangsa berusia 46 tahun membuat laporan.
Video 41 saat yang tular di Facebook menunjukkan beberapa individu menolak mangsa ke dalam Perodua Viva di tempat kejadian.