
KUALA LUMPUR: Malaysia sedang meminta daripada kerajaan Arab Saudi tambahan kuota jemaah haji sebanyak 10,000 untuk tahun ini, kata Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Azman Mokhtar.
Beliau berkata, rayuan tambahan kuota yang pertama adalah sebanyak 350 jemaah, dan keputusan rayuan berkenaan dijangka diketahui sebelum 21 Mei, iaitu sebelum penerbangan pertama jemaah haji ke Mekah untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
“Insya-Allah kita sedang minta (penambahan kuota jemaah haji),” katanya kepada pemberita selepas pengumuman agihan keuntungan TH bagi tahun kewangan 2022 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH Amrin Awaluddin dan Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan TH Mustakim Mohamad.
Pada 25 Mac lepas, Mohd Na’im dilaporkan berkata, Malaysia masih menunggu jawapan daripada kerajaan Arab Saudi bagi kelulusan tambahan 350 lagi kuota haji bagi tahun ini.
Katanya, Malaysia mempunyai asas untuk memohon tambahan kuota terbabit berikutan pertambahan populasi penduduk negara ini yang sudah meningkat kepada 31.95 juta.
Januari lepas, media melaporkan Malaysia menerima kuota haji seramai 31,600 jemaah tahun ini daripada kerajaan Arab Saudi.
Dalam perkembangan lain, Mohd Na’im berkata, pihaknya akan berbincang dengan pengerusi Jawatankuasa Fatwa di setiap negeri bagi mencari kaedah terbaik untuk menyelaraskan arah kiblat.
Katanya, perbincangan mengenai penyelarasan arah kiblat bagi konteks kawasan di Wilayah Persekutuan telah diadakan antara pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah baru-baru ini.
“Melalui perbincangan itu, saranannya adalah dalam konteks rujukan (arah kiblat) dibuat kepada jawatankuasa fatwa dan persatuan falak untuk mereka yang duduk di sekitar Lembah Klang atau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Untuk tujuan penyelarasan daripada sudut penentuan atau kaedah mana hendak digunakan, mungkin perbincangan boleh dibuat di peringkat Jawatankuasa Muzakarrah nanti,” katanya.
Mohd Na’im menasihatkan umat Islam untuk merujuk kepada Jawatankuasa Falak atau Jawatankuasa Fatwa di negeri masing-masing bagi memastikan arah kiblat yang tepat.
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 40% daripada 5,000 kediaman umat Islam yang diperiksa sekitar Lembah Klang, tersasar daripada kedudukan kiblat yang tepat.
Keadaan itu menyaksikan ada antara tempat atau ruang solat di sesebuah kediaman tersasar sehingga 180 darjah daripada kedudukan sebenar, dan perkara itu dikesan Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS) selepas memeriksa lebih 20,000 kediaman serta premis.