
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Terengganu masih belum memuktamadkan agihan kerusi bagi PRN.
Berita Harian melaporkan Pengerusi BN Terengganu Ahmad Said berkata, proses perbincangan antara pemimpin kedua-dua parti, termasuk jumlah kerusi yang akan diserahkan kepada PH, masih berjalan.
“Kita masih dalam proses perbincangan dengan pemimpin PH negeri dan jumlah kerusi pun belum diputuskan,” katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Umno Kuala Terengganu semalam.
“Walaupun PRN dijangka diadakan Julai ini, tetapi proses perbincangan dan pengagihan kerusi akan dimuktamadkan sebelum itu.”
Pada PRU14, BN hanya memenangi 10 daripada 32 kerusi DUN di Terengganu, manakala bakinya, iaitu 22 lagi kerusi dimenangi PAS.
Kerusi DUN dimenangi BN terdiri daripada Kuala Besut, Hulu Besut, Jertih, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.