
PETALING JAYA: Perbalahan antara komponen membentuk kerajaan perpaduan diketuai Anwar Ibrahim menunjukkan kekurangan agenda bersama, selain gagal berkomunikasi, kata penganalisis politik.
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, parti berkenaan sama ada tidak berkomunikasi antara satu sama lain atau sudah menggunakan semua laluan kompromi sehingga “menjurus satu-satunya laluan terakhir adalah dengan bercakap secara umum”.
“Jelas parti terbabit tidak berkongsi agenda sama melangkaui pertelingkahan sejak sekian lama antara mereka,” katanya merujuk kepada hubungan antara DAP dan Umno dan MCA.
Beliau percaya Anwar Ibrahim perlu masuk campur, namun saintis politik James Chin dari University of Tasmania, berkata pilihan terbaik bagi Anwar dan pemimpin kerajaan adalah mengelak daripada melakukan maklum balas secara terbuka.
“Sekiranya perdana menteri mengulas, ia hanya menjadikan perkara bertambah buruk,” katanya.
Pemimpin Umno, DAP, Amanah dan MCA sejak kebelakangan ini terlibat dalam pergeseran terbuka, berhubung topik berkaitan permohonan pengampunan melibatkan Najib Razak, harga tambang penerbangan ketika musim perayaan, dan siasatan terhadap pembantu Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.
Hari ini, Amanah memohon maaf kepada Umno berhubung kenyataan dibuat pengarah komunikasinya mengenai permohonan pengampunan Najib.
Azmil berkata, pertelingkahan berlaku tidak membantu kerajaan perpaduan untuk mengetengahkan lebih kesatuan.
Bagaimanapun, beberapa ahli politik mungkin sengaja “bermain dalam ruang lingkup sendiri untuk bertelingkah sebagai menunjukkan mereka tidak terikat dengan pihak lain”, katanya.
Azmil berkata, sebarang pertukaran dalam lingkungan awam perlu menumpukan kepada soal dasar berbanding serangan peribadi. “Debat sihat memupuk dasar lebih baik dan ketelusan dalam proses membuat keputusan.”
Chin berkata, berbalas serangan dan pergeseran dalaman memang sudah dijangka kerana Umno dan DAP sudah lama menjadi musuh politik hampir 60 tahun sebelum bekerjasama sebagai rakan membentuk kerajaan perpaduan tahun lalu.
“Mereka yang menyerang DAP adalah dalam kalangan tidak memihak Zahid Hamidi (presiden Umno), jadi untuk mereka menekan kerajaan juga sudah dijangka,” katanya.