
PETALING JAYA: Pelajar Tingkatan Lima antara dua lelaki diberkas polis selepas disyaki memiliki 6,000 pil kuda dalam serbuan di belakang sebuah restoran makanan segera di Rantau Panjang, Kelantan.
Pemangku Ketua Polis Pasir Mas, Nik Aminuddin Raja Abdullah, berkata dalam serbuan pada 10 malam Jumaat, dua suspek menaiki kereta dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota yang membuat rondaan.
Katanya, anggota mengekori kenderaan berkenaan sebelum suspek berhenti di lokasi terbabit dengan anggota menghampiri mereka sebelum memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa.
“Pemeriksaan lanjut dilakukan dan menemui semua pil kuda berkenaan disyaki untuk diedarkan kepada penagih.
“Hasil siasatan juga mendapati suspek berusia 17 tahun adalah pelajar sekolah di Hulu Selangor, manakala yang berusia 33 tahun adalah seorang buruh.
“Kedua-dua suspek kemudian ditahan untuk dibawa ke IPD Pasir Mas bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya menurut Harian Metro.
Nik Aminuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dua suspek itu direman tujuh hari hingga 5 Mei.
“Selain itu, semakan rekod lampau juga mendapati suspek berumur 33 tahun mempunyai dua rekod lampau berkait penyalahgunaan dadah.
“Susulan penangkapan membabitkan pelajar terbabit, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak serta akan mengambil tindakan tegas bagi menangani jenayah sebegini,” katanya.